KUALA LUMPUR 19 Feb - Tiga pemain Mohd Saifulnizam Miswan dari pasukan Pahang, Mohd Hariri Mohd Safii (Negeri Sembilan) dan Hazwan Fakrullah Mohd Zuridi (Kuantan FA) menjadi pemain pertama menerima hukuman penggantungan pada musim baharu kali ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam memutuskan Mohd Saifulnizam dan Mohd Hariri digantung empat perlawanan serta masing-masing dikenakan denda RM2,000 dan RM1,000.

Hazwan Fakrullah lebih bernasib baik selepas hanya dikenakan penggantungan dua perlawanan dan turut didenda RM1,000.

Kesemua mereka didapati bersalah atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan dan bertindak menyerang pemain lawan.