KUALA LUMPUR 19 Feb - Gol ketiga Pulau Pinang ketika menentang Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 17 Februari 2016 akan sentiasa dikenang sebagai antara gol paling cantik yang pernah dijaringkan di Malaysia, malah di dunia!

Jaringan Faiz Subri mendapat perhatian seluruh peminat bola sepak dunia, dikongsi dengan begitu meluas dan diperkatakan dengan hebat bahawa inilah gol yang layak memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016, iaitu anugerah tertinggi sukan bola sepak yang diberikan kepada penjaring gol tercantik.

Pelbagai andaian dan bacaan dibuat, sehingga ada yang mengatakan bola sepakan pemain tengah Pulau Pinang kelahiran Kedah itu telah melanggar hukum fizik!

Sebenarnya, ia tidaklah melanggar hukum fizik.

Secara teori, pergerakan melengkung bola itu disebabkan Kesan Magnus yang berlaku apabila bola ditendang dengan putaran, menyebabkan terjadinya perbezaan tekanan di kedua-dua sisi bola lalu melencongkan pergerakannya.

Prinsip sama berlaku dalam sepakan yang biasa dilakukan pemain-pemain profesional bertaraf dunia seperti bekas pemain England, David Beckham dan pemain Itali, Andrea Pirlo yang dikenali sebagai antara pakar tendangan percuma.

Apa yang membuatkan tendangan Faiz begitu istimewa adalah teknik yang digunakan sedikit berbeza.

Kebiasaannya sepakan percuma diambil dengan menendang menggunakan bahagian dalam kaki. Jika penendang menggunakan kaki kanan, mereka biasa berada di bahagian kiri bola sebelum menendang dan bola akan ditendang untuk berputar lawan arah jam, lalu menyebabkan bola melencong ke kiri.

Begitu sebaliknya jika penendang menggunakan kaki kiri.

Bagaimanapun, Faiz menggunakan bahagian luar kaki kanannya, menyebabkan bola berputar mengikut arah jam dan melencong dari kiri ke kanan. Ditambah daya sepakan yang padu dan sudut trajektori yang tepat, bola naik ke bahagian kiri Faiz dan turun ke sebelah kanannya.

Namun secara praktikalnya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat, apatah lagi mengelirukan penjaga gol dan tepat menerjah sudut atas kanan gawang.

Menurut Penolong Jurulatih Akademi Bola Sepak Chelsea Malaysia, Andy Okochi Elijah Finbar, ia berjaya dilakukan atas hasil usaha latihan yang intensif.

"Ia bukannya sesuatu yang dikatakan nasib semata-mata. Ia datang daripada latihan yang berterusan.

"Faiz berlatih untuk itu dan nasib menyebelahinya apabila usahanya selama ini berhasil," tambah Andy.

Pada masa sama, Andy berkata ia juga bukanlah sesuatu yang boleh dibuat oleh semua orang, walaupun pemain bertaraf profesional.

Menurut Andy, ia kerana tidak semua pemain bola sepak memiliki bakat mengambil sepakan percuma yang merangkumi ketajaman membaca pergerakan angin, jarak bola ke gawang serta titik sepakan pada bola.

"Sesetengah juga tidak begitu rajin untuk berlatih menyepak. Dalam pasukan pun ada orang tertentu sahaja yang dibenarkan mengambil sepakan percuma," ujarnya.

Jelas, apa yang diperkatakan iaitu bakat tidak dapat diserlah tanpa latihan yang gigih adalah benar. Cristiano Ronaldo sendiri menurut bekas pengurusnya di Manchester United, Sir Alex Ferguson, sentiasa hadir awal ke sesi latihan dan pulang paling lewat demi menajamkan skil sepakan percumanya. Itu yang membuatkannya ketika ini antara pengambil sepakan percuma yang digeruni pihak lawan.

Usaha berterusan Faiz elok dicontohi oleh setiap pemain tidak kira di peringkat apa sekalipun di Malaysia. Barulah skil pemain kita, tidak kira sepakan percuma, hantaran bola mahupun keupayaan bermain dengan cantik sebagai individu mahupun berpasukan boleh berada pada tahap yang lebih baik.

Takkan sekali sahaja bola sepak Malaysia mampu mencuri tumpuan dunia, kan?