KUALA LUMPUR 17 Feb - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menolak permohonan lima jenis sukan untuk disenaraikan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Lima sukan itu membabitkan lawan pedang, judo, triathlon, bina badan dan kenu.

Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, berkata 34 jenis sukan disenaraikan pada pemilihan peringkat pertama ini termasuk dua acara sukan musim sejuk iaitu luncur ais dan hoki ais.

"Kriket juga akan dipertandingkan selain sukan popular lain," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA 2017 di Wisma MOM sebentar tadi.

Mengikut Tunku Imran, senarai 34 sukan yang akan disenaraikan itu adalah yang pertama dan MOM bersedia mendengar rayuan daripada persatuan sukan yang tidak disenaraikan.

Senarai lengkap acara sukan yang akan dipertandingkan katanya akan dimuktamadkan pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Julai depan.