KETUA jurulatih negara, John Beasley berjanji untuk memberikan segala termampu dalam membantu Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa meraih kecemerlangan pada Olimpik Rio Ogos ini.

Lantaran beliau tidak berminat untuk terus “berperang mulut” dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Saya tidak ada komen kerana fokus ketika ini adalah untuk memberikan yang terbaik bagi membantu Azizul dan Fatehah,” kata ketua jurulatih dari Australia itu.

Beasley kini sibuk mempersiapkan dua pelumba trek negara itu untuk menghadapi Kejohanan Trek Dunia di London pada awal Mac dan Olimpik Rio.

Azizul terutamanya berdepan misi getir dalam memastikan tiket Olimpik dalam acara pecut kerana perlu mengatasi pelumba dari Jepun Seiichiro Nakagawa di London.

“Perang mulut” bermula apabila Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab menyuarakan rasa kurang senang apabila Azizul sekadar meraih gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jepun bulan lalu sekali gus mencetus kemarahan Beasley.

Ia turut mengundang Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegur kepimpinan PKBM supaya menggunakan saluran sedia ada dalam menyuarakan pandangan.

Namun Abu Samah mempertahankan kenyataannya dengan menjelaskan niatnya adalah baik dan secara tidak langsung mahu Beasley mencari jalan untuk meningkatkan prestasi The Rocketpocket Man ketika Olimpik hanya berbaki beberapa bulan saja.

“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk membantu Azizul mencapai impiannya. Saya perlu memberikan fokus kepada dua pelumba ini,” katanya. - Harian Metro