MEMULAKAN karier sebagai pemain bola sepak profesional di Terengganu, Hairuddin Omar bakal menamatkan status itu juga di negeri kelahirannya.

Hairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Hai-O mengakui Liga Malaysia musim ini adalah penampilan terakhirnya di padang selepas 19 tahun melalui pelbagai pengalaman pahit manis sebagai penyerang yang digeruni.

"Saya memang terfikir untuk bersara musim ini, tetapi selepas berbincang dengan pengurusan Terengganu, mereka memberi tawaran untuk bermain dan akhiri karier di sini.

"Ia merupakan satu penghargaan besar kepada saya untuk beraksi dengan pasukan negeri sendiri. Tidak dinafikan saya ada juga menerima beberapa tawaran dengan pasukan lain, tetapi tumpuan saya adalah untuk berbakti di negeri sendiri, dan duit adalah perkara kedua," jelasnya kepada mStar Online.

Menurut Hai-O peluang ini adalah yang terbaik untuk mengakhiri karier panjang sebagai pemain profesional bersama pasukan pertamanya iaitu skuad belia pada tahun 1997-1998.

"Saya yakin Terengganu mempunyai skuad yang seimbang dan mampu memberi saingan kepada pasukan lain walaupun Liga Super musim ini sangat kompetitif.

"Pastinya musim terakhir ini saya akan memberikan yang terbaik dan berharap agar Terengganu memenangi sekurang-kurangnya satu piala sekaligus mengakhiri karier ini dengan indah dan cemerlang," jelas bekas kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.

Mengenai perancangannya selepas bersara, Hai-O berkata, perniagaannya berasaskan makanan seperti sos ikan bakar, sos tiga rasa, bawang goreng, tepung serbaguna dan sebagainya kini berjalan lancar.

"Alhamdullilah perniagaan semakin berkembang dan peluang bermain dengan Terengganu ini juga memudahkan saya untuk memberi tumpuan kepada bisnes ini," jelasnya ringkas mengenai produk keluarannya yang dikenali Adeqsu.

Hai-O yang menandatangani kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selama setahun.

Selain bergelar pemain, Hai-O juga merupakan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM). 

Profil

Nama penuh: Hairuddin bin Omar
Tarikh Lahir:29 September 1979 (37 tahun)
Tempat lahir: Setiu, Terengganu, Malaysia
Posisi: Pemain tengah, penyerang
No. jersi: 20

Karier
1997-1998 Terengganu (Remaja)
1999–2002 Terengganu (senior)
2003–2008 Pahang
2009 - T-Team
2009→ Negeri Sembilan (pinjaman)
2010-Kelantan
2011-Negeri Sembilan
2012-2015 ATM
2016 - Terengganu
Pemain Malaysia: 2000-2015 (110 kap, 30 gol)

- Mstar