LONDON 24 Feb - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menuduh barisan pemainnya terlalu naif selepas membiarkan Barcelona menjaringkan gol menerusi serangan balas, sekali gus tewas 0-2 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas berjaya mengekang serangan bertali arus daripada Barcelona, Arsenal kembali menyerang bagi mencari gol kemenangan di babak kedua, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila Lionel Messi berjaya meledak gol pada minit ke-71 hasil serangan balas yang dilakukan.

Messi kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 selepas penyerang Argentina itu dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Mathieu Flamini, hasil daripada benteng pertahanan Arsenal yang longgar.

Arsenal kini dalam bahaya apabila kemungkinan besar tersingkir di pusingan 16 terbaik buat kali keenam.

Wenger berkata, anak buahnya melakukan kesilapan sama ketika menentang Monaco pada aksi pertama musim lalu apabila mereka menyerang untuk mencari gol penyamaan, tetapi melepaskan gol di lewat perlawanan sekali gus tewas 1-3.

"Apa yang mengecewakan saya adalah kami pada suatu ketika dilihat mampu mendominasi perlawanan pada 15 minit terakhir, tetapi kami memberikan gol kepada pihak lawan.

"Ia sama seperti Monaco. Pemain naif dan itu yang mengecewakan saya. Kami dilihat boleh memenangi perlawanan, tetapi kami mensia-siakannya," kata Wenger. - AGENSI