KOTA BHARU 17 Feb - Seorang lelaki cedera di kepala, tangan dan beberapa bahagian badan ditetak lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan pedang ala ‘samurai’ di Jalan Kampung Parit, Seterpa Peringat di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Yusoff Sidek, 37, yang bekerja sebagai penjaga rumah didatangi lima lelaki tidak dikenali.

Dipercayai semasa kejadian mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang menjaga rumah milik majikannya sebelum suspek memakai topeng yang digunakan pemotong rumput datang dari sebelah kiri rumah terbabit dan menyerang mangsa dan rakannya.

Rakan mangsa berjaya melarikan diri manakala mangsa ditetak oleh suspek berkali-kali di kawasan belukar berhampiran rumah majikannya.

Mangsa sempat menghubungi salah seorang adiknya memaklumkan kejadian tersebut sebelum dia ditemui terbaring di halaman rumah majikannya dalam keadaan berlumuran darah dan lemah.

Akibat kecederaan yang dialami mangsa, dia kemudiannya di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif berpunca daripada satu pergaduhan mulut dan tolak menolak antara suspek kira-kira lima jam sebelum kejadian.

"Sebelum itu, lima lelaki menaiki kenderaan pelbagai guna kompak jenis Perodua Alza telah datang ke rumah terbabit untuk menarik kereta majikannya.

"Semasa kumpulan lelaki itu menarik kereta terbabit berlaku pergaduhan mulut dan tolak menolak antara beberapa suspek dengan mangsa dan tuan rumah sebelum suspek melarikan diri," ujarnya.

Beliau berkata, usaha memburu suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan parah.