KUALA LUMPUR 24 Feb - Kedutaan Malaysia di Kathmandu mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian sebuah pesawat dikhuatiri terhempas selepas dilaporkan hilang berhampiran kawasan pergunungan Nepal, awal pagi tadi.

Pegawainya, Ahmad Phadil Ismail, berkata pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi Jabatan Penerbangan Awam Nepal berhubung insiden itu.

"Setakat ini rakyat Malaysia bukan antara 21 penumpang yang berada dalam pesawat terbabit. Jomsom yang menjadi destinasi pesawat terbabit juga bukan lokasi kegemaran rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara ini.

"Bagaimanapun, pihak kedutaan masih menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa Nepal," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Media antarabangsa melaporkan sebuah pesawat jenis Twin Otter terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara sejurus meninggalkan bandar barat Pokhara pada jam 7.50 pagi tadi waktu tempatan (10.05 pagi waktu Malaysia).

Pesawat yang membawa 18 penumpang termasuk dua warga asing dan tiga anak kapal itu dalam perjalanan ke bandar Jomsom, kira-kira 200 kilometer dari Pokhara.