HULU SELANGOR: Perdana Menteri tiada kaitan dengan krisis politik Kedah sehingga membawa kepada pelantikan Datuk Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata apa yang berlaku adalah disebabkan UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, bukannya atas kehendak Datuk Seri Najib Razak. "Dalam krisis ini saya sendiri susah nak jawab sebab saya dan Mukhriz adalah dari 'kilang' yang sama iaitu Pergerakan Pemuda UMNO. "Dalam konteks ini, Mukhriz sepatutnya menjadi ikon generasi muda dengan berfungsi secara berkesan sebagai Menteri Besar. "Saya kecewa kerana beliau gagal gunakan peluang yang diberi sehingga hilang kepercayaan daripada UMNO Kedah. Bila beliau gagal, bermakna ia turut memberi kesan kepada pemimpin muda, kerana kerajaan akan melihat golongan itu sama ada bijak atur kerajaan dan parti atau sebaliknya," katanya. Beliau yang juga Pengarah Strategik Barisan Nasional (BN) diminta mengulas krisis UMNO Kedah selepas melawat tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Bukit Tagar, di sini, sebentar tadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/