KUALA LUMPUR 25 Feb - Waris penumpang pesawat MH370 mengemukakan saman kecuaian terhadap Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dan lapan yang lain dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM32 juta.

Tuntutan saman itu adalah kerana menyebabkan kematian atau kematian salah kepada si mati, S Puspanathan.

Writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan balunya, K Sri Devi; dua anak lelaki mereka, P Haresh Varmer dan P Thashvarmen; serta ibu bapa Puspanathan, G Subramaniam dan A Amirathan selaku plaintif di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi.

Mereka menamakan Malaysian Airlines System Berhad, Malaysia Airlines Berhad, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman; DCA; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat; Jabatan Imigresen Malaysia; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; TUDM, dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kesembilan.

Aloyah kini adalah Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala Rodzali sudah bersara daripada perkhidmatan.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif berkata pada atau sekitar 8 Mac 2014, si mati adalah seorang daripada penumpang pesawat Boeing 777-200ER milik defendan pertama yang didaftarkan sebagai 9M-MRO dan mempunyai nombor penerbangan MH370 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Plaintif berkata, pada atau kira-kira 24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan penerbangan itu berakhir di Lautan Hindi dan tiada penumpang terselamat manakala lokasi sebenar pesawat itu masih tidak diketahui.

Plaintif seterusnya berkata, laporan penyiasatan secara konklusif mendapati ada kecacatan pada pesawat itu terutama kegagalan defendan pertama dan pekerjanya menggantikan dan memasang Solid State Flight Data Recorder (SSFDR) yang dilampirkan dengan Underwater Locator Beacons (ULB).

Kata plaintif, bateri SSFDR ULB itu sudah tamat tempoh pada Disember 2012 dan tidak diganti, menyebabkan hampir mustahil untuk mencari dan mengesan pesawat berkenaan.

Plaintif berkata, butiran kecuaian oleh defendan pertama atau pekerjanya antaranya ialah gagal mengambil langkah untuk memastikan si mati tiba di Beijing dengan selamat dan gagal memastikan pesawat sentiasa berada dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi kehilangan sokongan, kehilangan faedah perubatan dan perkabungan, kehilangan bonus tahunan si mati, ganti rugi teruk dan teladan.