KUALA LUMPUR 20 Feb - Penceramah Popular, Datuk Kazim Elias dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian selepas mengadu sakit dada.

Kazim dikatakan sepatutnya menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok, malam ini.

Majlis ceramah perdana bertajuk 'Jihad Agro Makanan Negara' itu bermula jam 9.30 malam.

Sementara itu Bernama melaporkan Ustaz Kazim mengadu penat sebelum kejadian.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Anuar Musardar Yusoff berkata Ustaz Kazim ketika itu baharu memulakan ceramah selama 10 minit sebelum meminta maaf di hadapan kira-kira 2,000 penonton selepas berasa tidak sihat.

"Ustaz Kazim kemudian terus dibawa ke Klinik Kesihatan Jelawat untuk menerima rawatan awal sebelum dipindahkan ke HUSM Kubang kerian bagi menerima rawatan lanjut.

"Setakat ini Mohd Kazim berada dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di Unit Kecemasan HUSM Kubang Kerian. Kami harap beliau kembali pulih," katanya.