KUALA LUMPUR 19 Feb - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebelum merompak seorang warga asing dalam kejadian di stesen bas di Jalan Pahang di sini pada 9 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias dalam satu kenyataan hari ini berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 9 pagi ketika memandu di Bandar Sri Permaisuri di sini semalam.

"Suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan berpura-pura memeriksa seorang warga asing lelaki berusia 26 tahun pada pukul 4 pagi sebelum merompak wang tunai sebanyak RM1,350 daripada mangsa," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas dua buah kenderaan jenis Proton Perdana dan Saga milik suspek.

"Polis percaya melalui penahanan suspek kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun," katanya sambil menambah saringan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Hamzah berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.