Berbanding masyarakat Cina yang mempunyai persatuan yang kuat, orang Melayu lebih gemar menghabiskan masa bergaduh sesama sendiri, luah pensyarah dan penceramah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

“Lihat NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa (dialek), ikan, ayam, sayur, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan dinamik. Sekali mereka gegar…kecut! Ramai yang tunduk.

“Kita asyik bergaduh. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat awam dan orang pencen tidak kurang politikingnya. Bila ada masa untuk membincangkan kekuatan Melayu?” soalnya dalam rencana terbarunya di blognya, hari ini.

Beliau juga menggesa agar masyarakat Melayu meninggalkan budaya mencantas ‘mereka yang lebih pandai’ kerana takut kedudukan sendiri terancam.

“Mereka yang berbakat dan berilmu mesti diketengahkan, bukan ‘dipetiaiskan’. Pemimpin politik melantik orang yang membodek, bukan kerana kepandaian, kerana takut mengancam kedudukan. Sikap sebegini perlu diubati,” katanya lagi dalam rencana bertajuk ‘Mitos Melayu malas 3M vs 3D’ itu.

Menurutnya, belia Melayu tiada masalah untuk menceburi bidang kerja 3D (dirty, difficult, dangerous) jika “sedar diri dan mahu berubah”.

Memetik nasihat Pendeta Za’ba, beliau berkata, “perangai bergantung kepada diri sendiri. Jika nak sesuatu itu berubah, mesti datang dari diri sendiri terlebih dahulu.”

“Setiap bangsa ada kelebihan tertentu. Tidak timbul isu hanya Cina rajin, atau orang Melayu selalu lambat. Masalahnya bukan kerana bangsa, tetapi sikap,” katanya lagi.