KUALA LUMPUR 19 Feb. – Pemimpin akar umbi PKR Selangor hari ini menyatakan bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Menteri Besar Selangor itu didakwa terbabit dalam kronisme, kegagalan urus tadbir dan mengamalkan politik dendam.

Setiausaha Cabang PKR Kelana Jaya, S. Murali mendakwa, dalam isu pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) misalnya, Mohamed Azmin bukan sahaja tidak mengikut tata-kelola perlembagaan parti, malah melanggar Pekeliling Kerajaan Negeri apabila melantik kroninya.

Dakwa Murali lagi, senarai nama Ahli Majlis PBT yang dicadangkan oleh cabang-cabang tertentu seperti ditetapkan oleh PKR telah diketepikan begitu sahaja oleh Mohamed Azmin hanya disebabkan dendam politik dan kemudiannya melantik kroni yang bukan merupakan pemastautin.

“Kami sudah hilang kepercayaan kepada Mohamed Azmin sebab beliau tidak mengikut perlembagaan parti, semua dia tidak ikut. Dia mentadbir Selangor ikut sesuka hati dia sahaja. Semua ini merosakkan PKR dan kepemimpinan parti perlu mengambil tindakan segera ke atas Mohamed Azmin.

“Apa yang berlaku di Selangor, Mohamed Azmin tidak mengikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR. Ahli Majlis yang dilantik daripada mana pun kami tidak tahu, bukan nama yang kami di cabang cadangkan. Apakah mereka itu semuanya kroni beliau?

“Bagaimana mereka yang tinggal di kawasan SS2, Petaling Jaya boleh dilantik menjadi Ahli Majlis Kelana Jaya? Bagaimana mereka dari Petaling Jaya Utara boleh diangkat sebagai Ahli Majlis Kuala Langat,” katanya.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah aktivis PKR, Badrul Hisham Shahrin serta beberapa pemimpin akar umbi PKR Selangor.

Dalam perkembangan sama, Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Gombak dan Selayang, B. Rajandran berkata, Menteri Besar Selangor itu semakin galak meletakkan orangnya sebagai Ahli Majlis terutama di cabang-cabang PKR negeri yang menolaknya dalam pemilihan parti yang lalu.

“Dia hanya meletakkan kroni dia, dia tidak ikut apa yang dicadangkan oleh cabang. Sedangkan kami telah usaha banyak untuk PKR tetapi bagi Mohamed Azmin, dia hanya mementingkan kepentingan politik peribadi, dia tidak peduli soal ahli di akar umbi,” dakwanya.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, Mohamed Azmin telah membunuh reformasi PKR apabila kepemimpinannya bertindak meluluskan projek mengecat pintu gerbang bernilai RM9.8 juta, menggantikan sebuah kubah masjid yang menelan kos RM32.4 juta serta pembinaan pejabat pentadbiran masjid sama sehingga mencecah RM33.3 juta.

Dakwanya, Mohamed Azmin juga terbabit dalam pengagihan projek penyelenggaraan jalan raya di Selangor kepada tiga syarikat sebagai kontraktor utama walaupun salah sebuah daripada syarikat terbabit mempunyai rekod gagal menyiapkan projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jika dahulu kita menyerang kerajaan negeri Terengganu kerana membina Masjid Kristal bagi tujuan pelancongan, mengapa tindakan sama tidak boleh diambil ke atas Mohamed Azmin yang sanggup membelanjakan RM65.7 juta hanya untuk sebuah masjid, sedangkan kos sebenar saya percaya jauh lebih murah,” katanya.