SHAH ALAM 17 Feb - Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menempelak jawapan balas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei berkenaan isu lantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Memberi amaran kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar menghentikan strategi politik kotornya, Badrul yang dikenali sebagai Chegubard turut menggesa menteri besar itu tidak mengamalkan kronisme dalam isu pemilihan tersebut.

"Beliau (Shuhaimi) kata isu ini sengaja diperbesarkan. Persoalannya, yang bercakap isu ini adalah mereka yang menjadi penggerak parti iaitu pimpinan cabang di Selangor. Mereka menuntut hak mereka dan mahu perbaiki parti.

"Maka berhentilah main politik balas dendam dan mengarut yang menghancurkan parti. Parti ada tatakelolanya, begitu juga kerajaan pun ada tata kelolanya.

"Orang bercakap dan menegur kerana nak perbaiki parti dan perkasakan kerajaan. Jangan ingat apabila ada yang mengkritik, maka persoalannya menjadi musuh," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Semalam, Chegubard bersama beberapa pimpinan cabang PKR di Selangor mengadakan sidang media yang mendakwa Azmin tidak telus dan tidak menghormati akar umbi parti dalam pemilihan ahli majlis PBT.

Azmin dipercayai bersikap 'pilih bulu' dengan menidakkan senarai calon yang dikemukakan oleh beberapa cabang parti itu.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disifatkan oleh Shuhaimi sebagai tidak berasas dan melihat ia sengaja diperbesarkan oleh sesetengah pihak.

Respon Shuhaimi tersebut kemudiannya dijawab oleh Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya, S Murali yang juga hadir bersama Chegubard di sidang media semalam yang mengatakan beliau bersedia mengemukakan bukti berkaitan kegagalan Azmin dalam isu berkaitan pemilihan ahli majlis.

Chegubard percaya kecelaruan dalam beberapa perkara berkaitan pentadbiran kerajaan negeri dan parti kini disebabkan sikap Azmin itu sendiri.

"Azmin jadi punca parti jadi goyah dan bermasalah kerana beliau sendiri tidak hormat parti," tambahnya.

Azmin dipercayai bersikap sedemikian kerana berdendam dengan sekumpulan pimpinan cabang PKR Selangor yang tidak menyokong beliau, ujar bekas Ketua Pemuda PKR Rembau itu.