SHAH ALAM 23 Feb - Angkatan Muda PKR Pulau Pinang hari ini melahirkan rasa kecewa dengan pengguguran dua adun PKR daripada jawatan dalam agensi dan anak syarikat kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ketua Penerangannya, Haidhar Auni Dzolkapli berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap kedua-dua adun itu, mencerminkan satu sifat yang tidak matang dalam pemerintahannya.

"Beliau (Guan Eng) sepatutnya menghormati perjanjian bersama Pakatan Harapan yang telah ditandatangani oleh ketiga -tiga parti, PKR, DAP dan Amanah. Tindakan pengguguran ini melambangkan pimpinan Guan Eng sebenarnya berat sebelah dan bersifat autokrat.

"AMK setuju dengan kenyataan Datuk Seri Azmin Ali yang menyelar Guan Eng bahawasanya Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya meraikan perbedaan pendapat," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Dua adun berkenaan adalah Chin Wen Adun Bukit Tengah telah ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Semenatara Adun Kebun Bunga, Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Tahun lalu, lima Adun PKR termasuk Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti) berkecuali sewaktu proses pengundian usul yang dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad berhubung isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar berhampiran muara Sungai Pinang.

Oleh itu, Haidhar Aino menggesa agar PKR pusat dapat campur tangan dalam hal ini bagi memperbaiki keadaan ini agar ia kembali ke haluan yang sama.

"Harus kita ingat, musuh utama kita adalah Umno/ Barisan Nasional, dan elak kan kita serang sesama kita. Sebaiknya kita fokus tentang permasalahaan rakyat dari kita bermain politik semata mata," katanya.