KUALA LUMPUR 26 Feb - Selepas berdepan pelucutan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Julai tahun lalu, nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Umno dijangka akan diketahui pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini.

Jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno dilihat tidak selamat selepas beliau sering mengkritik secara terbuka pimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Rasak berhubung isu dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Merungkai persoalan itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selaku Ahli MT berkata, beliau akan mengemukakan usul agar Muhyiddin digantung sebagai Timbalan Presiden Umno.

“Saya akan bercakap untuk menghadapkan Muhyiddin ke jawatankuasa disiplin parti di atas perbuatan yang tidak menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Umno.

“Saya harap akan dapat sokongan dan kalau beliau dihadapkan ke majlis jawatankuasa disiplin, saya minta hukuman itu ialah jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden digantung,” katanya, semalam.

Menurut Nazri, semua proses untuk memastikan Muhyiddin dikenakan hukuman adalah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh parti.

“Saya akan ikut prosedur. Sebelum hadapkan beliau ke jawatankuasa disiplin, pertamanya perlu ada aduan rasmi. Aduan rasmi saya adalah pada esok (hari ini).

“Kemudiannya mungkin jawatan kuasa disiplin akan mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk beliau membela diri,” katanya.

Bagaimanapun menurut Nazri, MT mempunyai kuasa penuh untuk mengetepikan semua prosedur itu.

Ketika ditanya adakah ahli MT lain akan menyuarakan usul sama, katanya, perkara itu akan diketahui hari ini.

“Saya tidak tahu. Mungkin ada. Kalau lihat daripada laporan-laporan, kenyataan dikeluarkan, nampaknya ramai bersetuju nak hadapkan Muhyiddin ke jawatankuasa disiplin,” katanya.