ALOR SETAR: Bangunan Wisma Darul Aman, di sini, kelihatan tenang walaupun sebentar lagi bakal menjadi tempat pertemuan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Tinjauan BH di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu ketika ini mendapati operasi harian berjalan seperti biasa, seolah-olah tiada sebarang pertemuan penting diadakan.
Bagaimanapun media sehingga kini tidak dibenarkan memasuki Wisma Darul Aman untuk tujuan liputan.
"Setakat ini media tidak dibenar masuk, bagaimanapun kami sedang tunggu arahan lanjut," kata seorang pengawal keselamatan bertugas ketika ditemui.
Semua ADUN BN kecuali Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga ADUN Ayer Hitam dijadual menghadap tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah kira-kira jam 2 petang ini.
Pertemuan akan diadakan di pejabat Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Blok E, Wisma Darulaman itu dijangka berhubung isu kemelut politik negeri ketika ini, terutama berhubung jawatan Menteri Besar Kedah yang didesak digantikan.

Sumber : www.bharian.com.my