KUALA LUMPUR, 17 Feb - Kadar penyertaan tenaga buruh pada Disember 2015 meningkat sedikit kepada 67.8 peratus berbanding 67.7 peratus pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Menurutnya, perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan kadar itu menurun 0.1 mata peratus berbanding 67.9 peratus yang dicatatkan pada Disember 2014.

Kadar pengangguran naik 0.1 mata peratus kepada 3.3 peratus pada Disember 2015 berbanding bulan sebelumnya, menurut jabatan itu dalam kenyataan perangkaan tenaga buruh bagi Disember 2015 di sini hari ini.

"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar pengangguran bulan semasa meningkat 0.3 mata peratus," menurutnya.

Menurut jabatan itu, kadar pengangguran pelarasan bermusim adalah 3.1 peratus, menurun 0.2 mata peratus berbanding bulan sebelumnya.