KUALA NERUS 15 Feb. - Kerajaan sedang dalam proses mengkaji semula pengeluaran permit kelulusan (AP) baharu untuk memastikan baki simpanan 2.4 juta metrik tan bauksit di Pelabuhan Kuantan dapat dibawa keluar ke China sebelum tamat tempoh moratorium 14 April depan.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semalam genap sebulan tempoh arahan moratorium kepada pengusaha bauksit untuk mengeluarkan baki simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan namun operasi membawa keluar baki bauksit itu tidak dapat dijalankan berikutan cuti Tahun Baru Cina.
"Kita bagi syarat, dalam masa sebulan untuk bawa keluar semua simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan, ada dua bulan lagi... daripada 3.2 juta tan metrik bauksit sebelum ini, 2.4 juta masih lagi tinggal di Pelabuhan Kuantan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal di sini hari ini.- BERNAMA