Kemelut membabitkan jawatan Menteri Besar Kedah masih belum terjawab namun ada di kalangan rakyat yang ditemui masih mahu Datuk Seri Mukhriz Mahathir terus mentadbir negeri Jelapang Padi itu.

Tinjauan The Rakyat Post di Pekan Rabu yang dibangunkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mahukan Mukhriz terus membangunkan negeri itu.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Hassan Yaacob, 54, berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu seorang yang gemar mendampingi rakyat.

“Kita mahukan Menteri Besar yang tahu masalah rakyat dan dia (Mukhriz) tiada kelemahan yang dapat dilihat.

“Rakyat sukakan dia dan letak siapapun jadi Menteri Besar, kita rakyat perlu terima,” katanya.

Bagi peniaga, Abdul Rashid Jumaat, 55 ketika ditemui berkata, Mukhriz perlu diberikan peluang untuk membawa pembangunan dalam negeri Kedah.

Menurutnya, tempoh kurang daripada tiga tahun mentadbir negeri itu, sukar untuk melihat perubahan yang besar.

“Rakyat perlu bagi dia peluang untuk membawa pembangunan kerana setakat ini, dia hanya menyambung pembangunan yang ditinggalkan bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

“Beri dia peluang untuk membawa perubahan kerana sekarang ini dia hanya meneruskan pembangunan yang dilakukan bekas Menteri Besar sebelum ini,” katanya.

Peniaga wanita di Pekan Rabu, Habsah Shuib, 49, berkata, Mukhriz sering mengambil tahu perkembangan mengenai peniaga di pekan tersebut.

“Kenapa perlu tukar Menteri Besar? Apa salah dia dan dia tidak makan duit rakyat.

“Dia seorang Menteri Besar yang bagus dan tidak mengganggu kami berniaga di sini, malah terus membantu,” katanya.

Berbeza pula dengan seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, Muhkriz perlu akur dengan keputusan Umno Kedah yang mahukan dia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Dia yang berusia 65 tahun itu berkata, isu tersebut tidak akan menjadi sesuatu yang besar sekiranya Mukhriz melepaskan jawatan dan tidak mempersoalkan ataupun menangguhkannya.

“Dia kena turun, rakyat sudah tidak suka dengan dia,” katanya.

Kemelut Menteri Besar ini berlaku apabila pemimpin Umno Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Istana Darul Aman baru-baru ini dan mencadangkan tiga nama calon Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Mukhriz.

Tiga calon itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Adun Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Adun Bayu, Datuk Azmi Che Husin.



Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/02/01/apa-salah-mukhriz-dia-tak-makan-duit-rakyat-luah-peniaga-pekan-rabu/#ixzz3yt26cxYs