ALOR SETAR 31 Jan. - S etelah hampir dua minggu berdepan krisis hilang kepercayaan daripada majoriti pemimpin UMNO Kedah, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini bersuara dengan mendakwa tindakan pemimpin terlibat sebagai tidak bertanggungjawab.Malah, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri dalam satu kenyataan di sini mendakwa tindakan kumpulan berkenaan mencemar pelbagai acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah.

“Tindakan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian mengheret ketua-ketua sayap dan pe­mimpin muda dalam UMNO me­ngadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu adalah tidak bertanggungjawab.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar, saya menerima khabar sesungguhnya Tuanku Sultan dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Exco yang sudah berikrar taat setia kepada pemerintah ketika mengangkat sumpah masing-ma­sing.

“Turut mendukacitakan, rentetan daripada sidang media berkenaan, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri mesyuarat Exco pada Rabu, 27 Januari yang lalu.

“Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah seperti termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya.

Tambah beliau, sebagai Exco, keengganan menghadiri mesyuarat Exco menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang diatur oleh kerajaan negeri.

“Saya dimaklumkan bahawa Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut murka dengan keingkaran Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar semua 14 ketua UMNO bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan sidang akhbar berkenaan dan enam Exco yang tidak hadir mesyuarat, memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Sehingga kemelut ini selesai semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, kepemim­pinan UMNO negeri terdiri daripada 11 ketua bahagian, tiga Timbalan Ketua Bahagian dan ketua-ketua sayap mengadakan sidang akhbar bagi menyuarakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Ne­geri.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah melalui kenyataan Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah pada 26 Januari menegaskan ahli jemaah itu berke­cuali dalam krisis politik di negeri ini dan menasihatkan pihak yang terlibat mencari jalan menyelesaikannya.

“Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengambil maklum tentang berita pergolakan politik yang sedang berlaku di Kedah dan me­negaskan bahawa ahli jemaah berkecuali daripada menyokong atau memihak mana-mana go­longan atau pihak,” kata Syed Unan Mashri.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang juga Tunku Temenggong Kedah di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan me­ngenai pertukaran menteri besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu adalah dua lagi anggota jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Pu­teri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/sultan-kedah-tersinggung-1.185640#sthash.8fBLyhw0.dpuf