NEW DELHI 19 Feb - Seorang pengantin lelaki di negeri Uttar Pradesh di utara India maut tertembak peluru yang dilepaskan oleh tetamu yang sedang meraikan majlis perkahwinannya.

Menurut seorang pegawai polis, pengantin Amit Rastogi, 28, parah tertembak di kepala ketika mengetuai rombongan menuju ke rumah pengantin perempuan dalam satu upacara yang menjadi kelaziman dalam majlis perkahwinan India.

"Dia ditembak di kepala kemungkinan oleh seseorang yang berada dalam majlis perkahwinan itu.

"Tetapi kami juga melihat daripada sudut lain, termasuk membunuh," kata Uma Shankar Singh, pegawai penyiasat di daerah Sitapur di mana kejadian itu berlaku, lapor AFP.

Pegawai penyiasat itu berkata pengantin lelaki, yang terjatuh dari kudanya setelah ditembak, dibawa ke hospital di ibu negeri Lucknow di mana doktor mengesahkan kematiannya.

Walaupun diharamkan di India, tembakan ketika keraian di majlis perkahwinan dan acara-acara lain adalah perkara biasa di negara ini, di seluruh Asia Selatan dan di kawasan-kawasan lain.

Pada Isnin, seorang budak lelaki berusia 14 tahun maut selepas ditembak di satu majlis perkahwinan di daerah berjiran Baghpat di Uttar Pradesh.

Pada Februari, seorang budak lelaki berusia lapan tahun terbunuh di daerah Shamli apabila petugas parti politik melepaskan tembakan bagi meraikan kemenangan dalam pilihan raya perbandaran.