KUALA LUMPUR 19 Feb - Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden serangan bom kereta yang berlaku di Ankara, Turki semalam.

Insiden yang berlaku pada jam 6.15 petang waktu tempatan (12.15 tengah malam waktu Malaysia) berhampiran Parlimen dan ibu pejabat tentera Turki itu mengorbankan 28 nyawa dan mengakibatkan 61 orang yang lain cedera.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar mengingatkan rakyat Malaysia yang menetap di Ankara agar sentiasa mengutamakan keselamatan.

"Kementerian Luar ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau melawat Turki agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau suasana sekeliling serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kerajaan Republik Turki," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar, menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara juga akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar yang menuntut di Ankara, selain terus memantau situasi berkenaan dari semasa ke semasa.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Turki dan keluarga mangsa sambil menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan keganasan dan menggesa pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.