KABUL 23 Feb - Penasihat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mahu tentera Afghanistan tidak terlalu bertumpu kepada mengawasi pos pemeriksaan, sebaliknya melebihkan masa memerangi Taliban.

Dengan misi perang NATO sudah berakhir secara rasmi dan cuma beberapa ribu tentera asing yang masih ada di negara itu, tanggungjawab jatuh ke atas tentera dan polis Afghanistan untuk melaksanakan kestabilan.

"Terlalu ramai askar di pusat pemeriksaan. Ada pepatah lama tentera yang berkata jika mempertahankan semua tempat, anda sebenarnya tidak mempertahankan apa pun dan ia benar bagi tentera Afghanistan," kata jurucakap misi latihan diketuai NATO, Brigadier Jeneral Wilson Shoffner.

Ada juga petunjuk idea NATO dipatuhi tentera Afghanistan.

Sejak minggu lalu, unit tentera yang berperang di Helmand meninggalkan pangkalan luar mereka di beberapa kawasan paling penting, langkah yang disifatkan pegawai membolehkan mereka mengukuhkan pasukan bagi memperbaharui serangan ke atas kubu kuat pemberontak.

"Kami memutuskan untuk mengundurkan tentera daripada sekadar bertahan dan menyediakan mereka untuk peranan lebih agresif pada tahun akan datang," kata Komander Tentera Darat Afghanistan, Jeneral Murad Ali Murad. - REUTERS