KALAMAZOO 22 Feb - Enam maut apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah mangsa yang dipilih secara rawak di luar kompleks pangsapuri, pusat pengedaran kereta dan restoran di Michigan, dalam kejadian yang berlanjutan hampir tujuh jam.

Pihak berkuasa mengenal pasti penembak sebagai Jason Dalton, pemandu Uber berusia 45 tahun dan bekas penyiasat insurans yang tiada rekod jenayah.

Mereka tidak memberitahu motif beliau menyasarkan mangsa dengan tiada kaitan dengan beliau atau sesama sendiri, dalam kejadian malam Sabtu itu.

Dalton, yang ditahan di Kalamazoo berikutan usaha memburunya besar-besaran, dijangka didakwa hari ini atas tuduhan membunuh.

Sherif Kalamazoo, Paul Matyas, menggambarkan siri serangan menakutkan itu bermula jam 6 petang waktu tempatan pada Sabtu di luar kompleks penempatan Meadow di Kalamazoo, yang menyaksikan seorang wanita ditembak beberapa kali. Beliau dijangka selamat.

Kira-kira empat jam kemudian dan pada jarak 24 kilometer, seorang lelaki dan anak lelakinya berusia 17 tahun ditembak mati ketika meninjau kereta di pusat pengedaran kenderaan itu.

Lima belas minit kemudian, lima lagi ditembak di tempat meletak kenderaan di restoran Cracker Barrel, empat daripadanya terbunuh, kata Matyas.

"Ini adalah pembunuhan secara rawak," katanya.

Dalton ditahan pada jam 12.40 pagi waktu tempatan, Ahad apabila seorang pegawai mengesan kenderaannya dipandu di pinggir Kalamazoo selepas meninggalkan sebuah bar. - AP