WASHINGTON 22 Feb - Penyanyi Jermaine Jackson mengecam calon presiden Republikan, Donald Trump, berhubung kenyataan hartawan itu mengenai adiknya, Michael Jackson.

Pada satu acara di Carolina Selatan, Trump mendakwa 'mengetahui cerita sebenar' mengenai Raja Pop itu.

"Saya tahu kisah sebenar Michael Jackson. Beliau amat berbakat. Beliau hilang keyakinan dan ia disebabkan pembedahan yang amat teruk.

"Anda tahu, percaya atau tidak, apabila hilang keyakinan mengenai sesuatu, anda juga boleh kehilangan bakat," katanya.

Jackson meninggal dunia ketika berusia 50 tahun pada 2009 akibat dos ubat berlebihan.

Trump, 69, berkata penyanyi itu ialah 'rakan baiknya' yang tinggal di Menara Trump di New York untuk jangka masa lama.

Jeramine mengecam kenyataan Trump dan menulis dalam akaun Twitter: "Seseorang tidak mengingati rakannya dengan teori mengenai Michael hilang keyakinan." - AGENSI