TEHRAN 26 Feb - Rakyat Iran hari ini mengundi dalam pilihan raya yang dianggap oleh presiden moderat negara itu sebagai penting bagi mengekang penguasaan konservatif di Parlimen dan menyegerakan perubahan domestik selepas perjanjian nuklear dengan kuasa besar.

Pakatan pro-kerajaan digelar "The List of Hope" mewakili impian Presiden Hassan Rouhani dalam pilihan raya itu.

Kira-kira 55 juta orang layak mengundi bagi memilih 290 wakil.

Selepas ini, ada satu lagi sesi pengundian iaitu memilih Dewan Pakar, jawatankuasa berpengaruh imam yang mengawasi kerja pemimpin agung mereka, Ayatollah Ali Khamenei.

Ketika ahli parlimen dipilih selama empat tahun, dewan perhimpunan pula akan diberikan penggal lapan tahun.

Waktu mengundi bermula jam 6 pagi waktu tempatan dan ditutup jam 6 petang walaupun pegawai berkata, ia akan terus dibuka jika barisan panjang dan lebih masa diperlukan untuk membuang undi. - AFP