ISLAMABAD 25 Feb - Panglima tentera Pakistan mengarahkan anggotanya memulakan 'fasa akhir' operasi menyasarkan militan di wilayah barat laut yang bergolak di sempadan dengan Afghanistan.

Jeneral Raheel Sharif mengeluarkan arahan itu ketika melawat tentera yang melancarkan serangan di Waziristan Utara, yang mana pihak tentera menyatakan sudah membunuh ribuan pemberontak sejak ia bermula pada Jun 2014.

"Jeneral Raheel Sharif mengarahkan operasi fasa akhir dimulakan segera di Waziristan Utara bertujuan menghapuskan saki baki pengganas dari tempat persembunyian mereka jauh di dalam hutan, mengasingkan mereka dan memutuskan hubungan dengan rakan subahat mereka di seluruh negara," kata kenyataan tentera.

Tweet daripada jurucakap tentera berkata, operasi sudah bermula walaupun tidak memberikan butiran lanjut.

Tentera melancarkan Operasi Zarb-e-Azb dengan tekanan Amerika Syarikat pada 2014 dalam usaha menghapuskan pangkalan militan di Waziristan Utara dan menamatkan pemberontakan yang sudah meragut ribuan nyawa.

Operasi dipertingkatkan selepas Taliban membunuh lebih 150, kebanyakannya kanak-kanak di sebuah sekolah di Peshawar pada Disember 2014. - AFP