BEIRUT 25 Feb - Presiden Russia, Vladimir Putin, berbincang dengan pihak utama konflik di Syria termasuk Presiden Bashar al-Assad, ketika pembangkang menyuarakan kebimbangan ia cuma menguntungkan kerajaan.

Gencatan senjata anjuran Moscow dan Amerika Syarikat itu akan bermula lewat minggu ini.

Tentera kerajaan yang dibantu pesawat tempur Russia melancarkan serangan untuk menawan semula jalan raya strategik di tenggara Aleppo daripada militan IS.

Kumpulan pelampau itu merampas bandar Khanaser dan bukit sekitarnya pada Selasa, memotong laluan utama ke Aleppo.

Agensi berita kerajaan melaporkan 18 terbunuh dalam serangan IS ke atas kawasan penempatan dikuasai kerajaan di bandar raya itu sejak 24 jam lalu.

Elemen utama perjanjian 'penamatan permusuhan' itu ialah membawa masuk bantuan kemanusiaan ke kawasan dikepung dan sukar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan pengguguran udara 21 tan metrik bantuan di Deir el-Zour yang dikepung IS.

Namun Program Makanan Sedunia kemudian menyatakan ia berhadapan 'kesukaran teknikal' dan menyatakan bantuan mungkin tidak menepati sasaran.

Perjanjian gencatan senjata itu yang dijangka berkuat kuasa tengah malam Jumaat ini waktu tempatan, tidak meliputi IS, cabang al-Qaeda, Nusra Front dan kumpulan militia lain yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Majlis Keselamatan PBB. - AP