TEL AVIV 25 Feb - Agensi keselamatan dalam negeri Israel secara bersistematik mendera banduan Palestin di kemudahan tahanan Shikma, kata dua pertubuhan bukan kerajaan.

Mereka menambah, layanan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah itu wujud dalam dasar soal siasat dan ditentukan pihak atas.

Kumpulan hak asasi manusia, B'Tselem dan HaMoked, menyiarkan laporan 70 muka surat memperincikan penderaan yang berlaku antara Ogos 2013 dan Mac 2014 di kemudahan soal siasat Shika, yang dikendalikan Agensi Keselamatan Israel, Shin Bet di Ashkelon, selatan Israel.

Laporan berdasarkan pengakuan sekurang-kurangnya 116 suspek yang disoal siasat di kemudahan itu.

Ia melaporkan, keadaan di Shikma adalah asas sesi soal siasat yang bertujuan melemahkan minda dan tubuh, melengkapkan soal siasat sebenar tahanan dalam bilik siasatan.

Tambahnya, gabungan kedua-dua keadaan dalam dan luar bilik siasatan adalah penderaan dan layanan tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah, malah menyamai kaedah seksaan.

"Dilaksanakan secara bersistematik, dasar termasuk keganasan dan menjatuhkan maruah ketika penangkapan dan siasatan; keadaan penahanan tidak berperikemanusiaan yang memaksa tahanan bertahan dalam keadaan sesak dan bernajis; diasingkan; penyediaan makanan yang sedikit dan tidak bermutu;

"Pendedahan kepada cuaca panas dan sejuk melampau; berterusan diikat pada kerusi ketika soal siasat; tidak dibenarkan tidur; diancam, dimaki dan dipersenda, malah dalam sesetengah kes dilakukan secara ganas oleh pegawai soal siasat," menurut laporan itu. - Agensi