NEW DELHI 17 Feb - Aktor dan penerbit ternama Bollywood, Shah Rukh Khan akhirnya menerima ijazah beliau semalam, 28 tahun selepas tamat pengajian di Kolej Hansraj, New Delhi.

Pelakon utama filem Dilwale itu akhirnya berkesempatan meluangkan masa menerima ijazahnya ketika berada di kota ini untuk melancarkan filem terbaru Yash Raj Film, berjudul Fan.

"Ini adalah saat yang sungguh istimewa buat saya. Saya kembali ke kolej yang saya tinggalkan pada 1988. Satu perkara saja yang kurang, anak-anak saya tiada kerana saya mahu tunjukkan kepada mereka setiap sudut kolej tempat saya belajar," kata Shah Rukh.

Pengetua Kolej Hansraj, Rama Sharma ketika menyampaikan ijazah itu berkata institusi itu sangat berbangga dengan pelajarnya bertaraf bintang itu.

Shah Rukh, yang dilahirkan di Delhi, menetap di kawasan terkenal di bandar itu termasuk Rajendra Nagar dan Gautam Nagar.

Bintang filem Chennai Express itu pernah belajar di Sekolah St Columba dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Ekonomi dari Hansraj. - Agensi