KUALA LUMPUR 24 Feb - Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pengesahan terbaru unjuran badan penarafan antarabangsa, Fitch Ratings sebagai bukti jelas keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas asas ekonomi dan kedudukan kewangan Malaysia.

Tambah Annuar, Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada 'A-' dan 'A' dengan unjuran stabil juga sebagai pengiktirafan besar kepada kepimpinan negara.

"Paling menarik adalah penarafan yang baik oleh agensi penarafan antarabangsa ini turut memberi beberapa pengiktirafan besar ke atas dasar dan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengendalikan ekonomi negara," kata Annuar melalui kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, beliau juga menyifatkan penarafan ini menunjukkan tindakan pengubahsuaian Bajet 2016 adalah langkah tepat.

Ini terutamanya mengenai langkah kerajaan untuk tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat, khususnya dengan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah 'people's economy'.

"Sudah tentu laporan ini bukan berita gembira buat pengkritik dan pembenci Perdana Menteri.

"Di sebalik kecaman dan kritikan pembangkang, tidak sampai pun sebulan pengubahsuaian Bajet 2016 diumumkan oleh Perdana Menteri, tindakan ini telah diakui betul oleh Fitch.

"Sekali gus menggambarkan pandangan jauh Perdana Menteri dalam menguruskan ekonomi negara," kata Annuar yang juga Pengerusi Mara.

Fitch dalam kenyataannya semalam memaklumkan penarafan baik ini antara lainnya didorong oleh komitmen terhadap usaha pengukuhan fiskal, pertumbuhan rizab, kestabilan ringgit dan ekonomi yang kukuh.

"Penarafan baik Fitch ini pada akhirnya adalah satu tamparan hebat ke muka siapa sahaja yang beria-ia mahu mencalar imej positif Perdana Menteri.

"Kepada mereka "If it ain't broke, don't fix it. (Kalau tidak rosak, jangan betulkan)," ujar Annuar.