KUALA LUMPUR 25 Feb - Gaya hidup berteraskan konsep pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R) dalam kalangan rakyat perlu ditingkatkan bagi mengelakkan pembaziran perbelanjaan negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kos RM2 bilion setahun yang diperuntukkan bagi pengurusan sisa pepejal dijangka meningkat secara mendadak jika tiada tindakan drastik diambil.

"Peningkatan kos berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh menerusi peralihan gaya hidup rakyat dengan mengamalkan konsep 3R seperti negara maju.

"Peruntukan RM2 bilion ini boleh dimanfaatkan untuk membina sekolah, klinik dan memperkasa sistem pengangkutan demi kemudahan rakyat.

"Bagaimanapun, saban tahun kita perlu tambah peruntukan untuk menguruskan sisa pepejal berikutan kesedaran rakyat terhadap kepentingan dan manfaat 3R masih di takuk lama.

"Keberkesanan menguruskan sisa pepejal bukan sekadar menjimatkan perbelanjaan, malah dilihat sebagai pengukur kemajuan sebuah negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Makmal Pengurusan Sisa Pepejal di sini, pagi ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) kini berdepan dengan pelbagai kekangan, khususnya aspek kewangan dalam menguruskan sisa pepejal dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Katanya, PBT antara lain terpaksa mempertimbangkan cadangan peningkatan cukai terhadap rakyat jika masalah ini masih berlarutan.

"Jesteru, 3R adalah jalan terbaik untuk rakyat membantu kita menguruskan sisa pepejal, selain berupaya menjimatkan perbelanjaan dalam jangka panjang.

"Rakyat perlu melihat kepentingan 3R sebagai tanggungjawab bersama dalam memastikan usaha mengoptimumkan bajet negara ke arah yang lebih menjana manfaat menyeluruh," katanya.