KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kadar jenayah dalam negara berkurangan antara 4.2 peratus hingga 12.6 peratus dari 2011 hingga tahun lepas.

Namun begitu persepsi masyarakat terhadap kejayaan penurunan indeks itu tidak meningkat.
 
"Masih wujud prasangka terhadap pihak polis dan ada di antara kita tidak mahu mengakui hakikat bahawa pihak polis telah menjalankan tugas.

"Pada waktu yang sama ada sesetengah media tidak mahu mengakui hakikat dan pencapaian ini," katanya ketika menjawab soalan Senator Chia Song Cheng pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini.

Chia ingin tahu statistik kadar kes jenayah seluruh negara dan usaha kementerian mengubah persepsi rakyat terhadap kadar jenayah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kejayaan penurunan ini hasil program penurunan kadar jenayah yang dilakukan Polis Diraja Malaysia dengan pelbagai pendekatan termasuk soal pencegahan, pembanterasan dan pendakwaaan.

"PDRM sentiasa berusaha untuk mengurangkan peratusan indeks jenayah ini dan komited untuk bekerjasama dengan seluruh agensi penguatkuasaan dalam menjayakannya," katanya kepada soalan tambahan Senator Datuk Megat Zulkarnain Wan Omardin.


Sumber: Bernama