BUTTERWORTH: Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T. Subromaniam mengingatkan pengusaha syarikat agar mematuhi perundangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Tambah beliau peniaga dinasihatkan tidak terlibat dengan perbuatan mentaksirkan cukai lebih rendah daripada sepatutnya.

“Pihak JKDM akan mengambil tindakan mahkamah dan mengenakan penalti sehingga 40 peratus sekiranya mengesan mana-mana syarikat yang tidak mematuhi undang-undang GST.

"JKDM memandang serius tindakan syarikat yang cuba mengelak untuk membuat pembayaran GST dengan tepat dalam tempoh yang ditetapkan,”katanya menerusi portal Bernama.

Tambah beliau, satu pasukan khas bagi melakukan Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) digerakkan bermula 1 Sept lalu untuk melakukan tinjauan dan penilaian dalam usaha memastikan semua syarikat yang berdaftar mematuhi perundangan GST.

Sementara itu, Subromaniam berkata sehingga 12 Dis lepas, sebanyak 17,381 syarikat telah dilawati untuk memastikan mereka mematuhi perundangan dan membuat pembayaran GST dengan tepat.