KUALA LUMPUR: Susulan kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor, hampir 3.89 juta pengguna di sekitar Lembah Klang hari ini mula menghadapi gangguan bekalan air.

Gangguan itu melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini memaklumkan kerja penyelenggaraan TNB dan henti tugas berkenaan akan dilaksanakan selama 16 jam mulai 8 pagi.

Ia sekali gus menjejaskan operasi di loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60% pengguna di Lembah Klang.

Gangguan air dijangka berlaku sehingga ambang sambutan Krismas, 24 Disember ini.Di sebalik kegusaran pengguna dan ketika sambutan Krismas bakal menjelma, TNB semalam menjelaskan kerja penyelenggaraan itu tidak boleh ditangguhkan lebih lama lagi.

Menurut syarikat pembekal tenaga itu, situasi peralatan di PMU berkenaan semakin meruncing dan sebarang penangguhan akan memberi kesan kepada bekalan elektrik dalam tempoh yang lama.



Sumber: Bernama