KUALA LUMPUR: Malaysia akan menuntut penjelasan China susulan dakwaan peletakan aset ketenteraan republik itu di tujuh pulau buatan di Laut China Selatan.

Di samping boleh menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat antarabangsa, ia juga malah mampu menggugat kestabilan dan keamanan di Laut China Selatan sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan menulis surat kepada rakan sejawatannya di China, Jeneral Chang Wanquan dalam tempoh terdekat bagi tujuan berkenaan.

"Saya juga akan menulis surat kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Ashton Carter berhubung gambar didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Amerika Syarikat, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) menunjukkan (didakwa) aset tentera China yang diletakkan di perairan itu," katanya menerusi portal Bernama Online.