JAKARTA: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok memberitahu beliau tiada niat menghina al-Quran ketika perbicaraan terhadapnya atas tuduhan menghina Islam, semalam.

"Saya tidak berniat untuk mentafsir surah al-Maidah atau menghina Islam dan ulama. Kenyataan itu ditujukan kepada ahli politik tidak bertanggungjawab menyalahgunakan surah tersebut kerana mereka enggan bersaing secara adil dalam pilihan raya.

"Kemungkinan bahasa yang saya gunakan telah memberi persepsi atau tafsiran tidak selaras dengan apa yang cuba saya sampaikan. Saya sangat sedih kerana dituduh menghina Islam kerana tuduhan itu sama seperti saya menghina keluarga angkat yang menyayangi saya," kata ahli politik berusia 50 tahun itu sambil menangis.

Difahamkan, perbicaraan itu telah ditangguhkan kepada Selasa depan bagi pihak pendakwa untuk bertindak balas terhadap penghujahannya.Rakaman video yang menjadi viral memaparkan Ahok menerusi kenyataannya memetik surah al-Maidah ketika berpidato di Kepulauan Seribu pada September lalu telah mencetuskan kemarahan penduduk Islam di Indonesia.

Kelmarin, beliau sekali lagi meminta maaf kepada orang Islam dan menyatakan beliau 'hanya manusia yang lemah dan memohon pintu kemaafan dibuka luas untuknya'.

Sumber: Straits Times