KUALA LUMPUR: Kumpulan perubatan pertama termasuk pakar tulang dan pakar bius dari Mercy Malaysia tiba di Pidie Jaya bagi misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi di Aceh.

Susulan kejadian gempa bumi yang melanda bandar Aceh, Presiden Indonesia Joko Widodo memberitahu pihak berkuasa tempatan memerlukan bantuan merawat ratusan mangsa gempa bumi yang cedera.

Seramai 10 sukarelawan Mercy Malaysia digerakkan ke kawasan bencana yang setakat ini mengorbankan 102 nyawa dengan lebih 750 dilaporkan cedera.

Kumpulan badan kemanusiaan berkenaan turut merancang mengedarkan bekalan makanan dan kit keperluan harian kepada 250 mangsa di Kecamatan Meureudu di Pidie Jaya, esok.

Pengarah Program dan Pembangunan Strategik Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah merangkap ketua misi di Aceh, berkata kumpulan perubatan itu akan ditempatkan di Rumah Sakit Umum Pidie Jaya.

"Penilaian awal Mercy Malaysia mendapati kebanyakan mangsa gempa yang hilang tempat tinggal perlu bantuan keperluan asas seperti air, makanan dan keperluan harian seperti selimut dan sebagainya.

Sumber: Berita Harian