PUTRAJAYA:Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan bahawa semua pelajar Malaysia yang berada di Aceh, Indonesia berada dalam keadaan selamat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 6.4 Skala Richter yang berlaku kelmarin di daerah Pidiejaya, Aceh.

Maklumat yang diterima dari Education Malaysia, Indonesia di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, kesemua 421 orang pelajar Malaysia selamat berikutan lokasi kejadian berjarak 121 km dari kawasan penempatan pelajar.

Seramai 380 orang pelajar Malaysia di Aceh merupakan penuntut dalam bidang Pengajian Islam di Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh.Manakala baki 41 orang lagi merupakan pelajar Madrasah Agama di sekitar Banda Aceh.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia Jakarta melalui Education Malaysia Indonesia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berterusan memantau keadaan semasa dan telah bersiap-siaga dengan sebarang kemungkinan susulan.

Para pelajar juga telah diberi peringatan supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh Pihak Keselamatan atau Pemerintah Provinsi Aceh.

Sumber : Kementerian Pendidikan Tinggi