PIDIE JAYA: Susulan gempa bumi kuat melanda bandar ini kelmarin, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dijadual akan turun meninjau kemusnahan menjejaskan beberapa kawasan, pagi ini.

Jokowi tiba di Banda Aceh kira-kira jam 5.35 petang semalam, (6.35 petang waktu Malaysia) sedang dalam usaha melihat sendiri keadaan bandar serta penduduk yang terjejas akibat kejadian berkenaan di Pidie Jaya.

Beliau turut ditemani Menteri Kesihatan, Nila Moeloek; Menteri Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono serta Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo dan Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian.

Presiden Indonesia ke-7 itu dilaporkan mahu melihat secara dekat proses penyaluran bantuan, evakuasi kerja menyelamat mangsa gempa bumi, lawatan ke atas mangsa yang cedera dan keluarga yang terkorban serta mendengar taklimat membaik pulih infrastruktur.

Sementara itu, media tempatan yang memetik Ketua Staf Pejabat Presiden, Teten Masduki, melaporkan setakat ini seramai 102 mangsa gempa bumi meninggal dunia, satu masih hilang, 136 cedera parah, 616 cedera ringan, sementara 10,029 dipindahkan.

Terdahulu, bandar Aceh pernah dilanda tsunami pada tahun 2004 yang mengorbankan lebih 170,000 nyawa.

Sumber: Agensi