KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon popular, Neelofa enggan mengulas lebih lanjut dakwaan wujud orang ketiga dalam hubungan rapatnya dengan pelakon, Fattah Amin.

Katanya, beliau sendiri baru saja mengetahui perihal dakwaan terbabit. Difahamkan, orang ketiga yang dimaksudkan itu ialah seorang pelakon berdarah campuran.

"Mungkin cara saya dapat tahu mengenai dakwaan itu juga tidak elok. Jadi, tidak adil juga untuk saya memberikan komen mengenai hal ini kerana Fattah dan individu berkenaan tiada di sini.

"Jujurnya, saya fobia untuk memberi ulasan lanjut kerana bimbang kenyataan ini akan mengeruhkan lagi keadaan dan melukakan hati banyak pihak, termasuk peminat.

"Saya dan Fattah juga mempunyai peminat masing-masing. Mereka yang tahu cerita ini, tahulah," kata Neelofa kepada Berita Harian Online.

Menurut Neelofa lagi, beliau bagaimanapun tidak mahu terus hanyut dengan perkara sebegitu, apatah lagi memikirkannya.

"Saya tidak mahu diri dibebankan dengan perkara yang tak perlu ini," katanya.

Mengenai desas-desus hubungan 'intim' dirinya dengan Fattah, selepas sama-sama membintangi drama Suri Hati Mr Pilot kini kononnya 'berantakan', Neelofa menjelaskan ia terlalu rumit untuk dijelaskan.

Apatah lagi Fattah sebelum ini pernah membuat kenyataan sudah bertemu keluarga masing-masing, sehingga mengundang pelbagai tafsiran seperti mereka serius untuk membawa hubungan itu ke jenjang pelamin.


Sumber: BH Online