MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mempunyai banyak pencapaian sebagai pengendali tetapi kali ini dia mencatat rekod baru Liga Perdana Inggeris apabila menjadi pengurus pertama diarahkan meninggalkan padang dua kali dalam satu musim.

Mourinho diarahkan duduk di tempat duduk penonton susulan tindakannya menyepak botol air ketika Manchester United seri 1-1 dengan West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Pada pertengahan babak pertama perlawanan di Old Trafford itu, Mourinho melepaskan kemarahannya dengan menyepak botol air yang berada di kawasan teknikal selepas Paul Pogba dilayangkan kad kuning kerana dikatakan sengaja menjatuhkan badan oleh pengadil, Jonathan Moss.

Dia diarahkan menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton buat kali kedua musim ini selepas turut dikenakan tindakan sama ketika United seri 0-0 dengan Burnley - Mourinho turut digantung satu perlawanan.

"Pengadil sudah memberikan penjelasan kepada Jose, jadi tiada apa lagi yang perlu diperkatakan," kata penolong pengurus United, Rui Faria.

"Saya fikir Jose kecewa selepas kad kuning yang dilayangkan kepada Pogba. Ia sepatutnya berpihak kepada kami tetapi pengadil melihatnya dari pandangan berbeza".

Mourinho, 53, didenda awal bulan ini selepas mempersoalkan kredibiliti Anthony Taylor sebagai pengadil perlawanan ketika skuad bimbingannya menentang Liverpool.

Pengendali dari Portugal itu juga berselisih faham dengan Moss pada minggu-minggu terakhirnya sebagai pengurus Chelsea, musim lalu.

Keputusan di Old Trafford itu menyaksikan United mencatat keputusan seri empat kali berturut-turut di laman sendiri selepas perlawanan dengan Stoke City, Burnley dan Arsenal.

United kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea. - AFP