MADRID: Atletico Madrid menjamin tempat teratas Kumpulan D Liga Juara-Juara dengan berbaki satu perlawanan, mengatasi Bayern Munich selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas PSV Eindhoven, awal pagi tadi.

Kevin Gameiro dan Antoine Griezmann menjadi wira Atletico apabila masing-masing meledak gol pada minit ke-55 dan 66 bagi memastikan kemenangan berharga buat kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Selepas mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik, kekalahan mengejut Bayern 2-3 di tangan Rostov menyaksikan Atletico hanya memerlukan satu mata bagi menjuarai kumpulan.

Dan anak buah Diego Simeone tidak menghadapi masalah untuk melakar kemenangan apabila dua gol jaringan Gameiro dan Griezmann dalam tempoh 11 minit babak kedua memastikan Atletico kekal sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Simeone kini berpeluang untuk merehatkan beberapa pemain utamanya menjelang kunjungan ke Munich pada 6 Disember depan manakala PSV perlu menewaskan Rostov untuk mara ke saingan Liga Europa.

"Saya gembira kerana dengan berbaki satu perlawanan, kami berjaya menjuarai kumpulan yang disifatkan sukar ini. Kami bermain sangat baik di tempat lawan iaitu di Belanda dan Russia," katanya.

Masih segar dengan kekalahan 0-3 di tangan musuh tradisi, Real Madrid, Sabtu lalu, Simeone melakukan empat pertukaran bagi memastikan benteng pertahanannya kembali kukuh selepas disifatkan sangat berjaya sejak lima tahun di bawah kendaliannya.

Pengendali dari Argentina itu menyaksikan anak buahnya tidak dibolosi dalam enam perlawanan pertama manakala Gameiro memanfaatkan peluang diberikan bagi menggantikan Fernando Torres sebagai penyerang utama.

"Sepanjang musim, kamu perlu menghadapi pelbagai situasi berbeza tetapi apa yang lebih penting adalah objektif yang kamu tetapkan dan bagaimana kamu menamatkan saingan musim itu.

"Kritikan dan pujian pasti ada, tetapi kamu tidak boleh fokus kedua-duanya kerana apa yang penting adalah objektif yang ditetapkan," katanya. - AFP