KUANTAN 23 Nov - Di sebalik kejayaan layak ke separuh akhir Piala Emas Raja-Raja 2016, Pahang tidak dapat menurunkan Mohamad Haris Irfan apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Sabtu ini.

Pengendali pasukan, Zulhamizan Zakaria berkata, khidmat Haris yang beraksi di posisi pertahanan tidak dapat disenaraikan kerana menjalani penggantungan.

Namun, katanya, ketiadaan pemain itu tidak menghalang skuadnya untuk memburu kemenangan ke atas Kuala Lumpur, apatah lagi, memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Saya perhatikan skuad kali ini tiada masalah menyenaraikan pemain dalam kesebelasan utama kerana mereka begitu komited menjalankan tanggungjawab untuk memastikan pasukan beroleh kemenangan," katanya semalam.

Zulhamizan berkata, dia akan memfokuskan tumpuan memperkemaskan lagi jentera pertahanan dan tengah manakala serangan diharap lebih berbisa menjelang pertemuan menentang Kuala Lumpur itu.

Katanya, fokus utama adalah tidak melepaskan gol dan pada masa sama pemain memanfaatkan segala peluang yang ada sebagai bekalan untuk melangkah ke final.

"Jadi, saya mahu pemain tidak mengulangi kesilapan seperti tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan pada suku akhir pertama selepas selesa mendahului 2-0. Sebaliknya bersedia memanfaatkan tempoh 90 minit," katanya.