KUALA LUMPUR 21 Nov - Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengakui kecewa dan menyifatkan apa yang dilakukan pemain Denmark, Jan Jorgensen ketika perlawanan separuh akhir Terbuka China, Sabtu lalu bukan saja tidak menghormatinya, tetapi juga Malaysia.

Ketika penukaran gelanggang pada set ketiga dan penentuan, Jorgensen yang ketika itu sedang mendahului perlawanan mencampak baju yang tidak sengaja ditinggalkan Iskandar di kotak pemain lawan.

Sekalipun dia boleh memanggil lawannya untuk mengambil baju itu, Jorgensen begitupun memilih untuk mencampaknya ke gelanggang bersebelahan sebelum ia dikutip jurulatih oleh jurulatih Iskandar.

Iskandar dalam laman sosial Facebook miliknya meluahkan apa yang terbuku di hatinya: "Baju saya mengandungi bendera Malaysia. Jika kamu tidak menghormati saya, tidak mengapa namun tolong hormat bendera di baju itu," katanya.

Lebih daripada itu, Iskandar selepas perlawanan turut memberitahu media yang Jorgensen berterusan memanggilnya "Lee Chong Wei" dengan niat untuk menghinanya.

Jorgensen begitupun menang perlawanan itu dalam pertarungan tiga set 20-22, 22-20, 7-21.

Rata-rata pengguna laman sosial mengkritik tindakan Jorgensen yang dilihat tidak memaparkan semangat kesukanan dan memberikan sokongan moral kepada Iskandar.

Begitupun, ada yang menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dilalui oleh Iskandar dalam usaha menjadi pemain terkemuka dunia.

"Cabaran jadi champion bro. Li Yong Bo teriak nak patahkan kaki LCW dulu dalam game. Last last world no. 1 jugak," tulis seorang pengguna laman sosial terbabit di dalam Facebook Iskandar.