KUALA LUMPUR 17 Nov - "Kalah sekali bukan bermakna akan kalah selamanya".

Itu kata-kata semangat daripada jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas kekalahan mereka di pusingan pertama Terbuka China, kelmarin - selepas seminggu bergelar beregu nombor satu dunia.

Chong Wei, berkata ia adalah perkara biasa apabila V Shem-Wee Kiong tewas dalam kejohanan pertama mereka selepas menjadi beregu nombor satu dunia memandangkan situasi kini sudah berbeza.

"Saya rasa V Shem-Wee Kiong sekarang banyak berfikir selepas menjadi beregu nombor satu dunia, tekanan itu pastinya tinggi. Sebelum ini mereka yang kejar pihak lawan tetapi sekarang pihak lawan yang kejar mereka.

"Semua orang pasti mahu tewaskan mereka sebagai beregu nombor satu dunia. Jika berjaya tewaskan mereka pastinya ia satu kejutan.

"Apa yang saya boleh kongsikan adalah pengalaman saya sepanjang menjadi pemain nombor satu dunia. Selama tujuh tahun saya di atas, saya belajar untuk tidak memikirkan mengenai lawan.

"Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan beraksi sebaik mungkin," kata Chong Wei ketika ditemui di Kem Badminton Astro Kasih di sini, hari ini.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 tewas kepada pasangan China, Zhang Nan-Liu Cheng di pusingan pertama Terbuka China yang berlangsung sehingga set penentuan.

Bagaimanapun, mereka berpeluang menebus kekalahan itu apabila beraksi di Terbuka Hong Kong bermula 22 hingga 27 November ini.

"Saya harap mereka tidak putus asa dan kembali bangkit daripada kekalahan ini. Tekanan itu perkara biasa tetapi mereka perlu bijak untuk mengatasinya," kata Chong Wei.