SAN JUAN, Argentina 26 Nov - Lionel Messi menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma sebelum membantu dua lagi jaringan ketika membantu Argentina mengatasi Colombia 3-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, di sini sebentar tadi.

Colombia ketinggalan seawal minit ke-10 apabila Messi menyempurnakan sepakan percuma dari luar petak penalti yang terkena palang gol sebelum menerjah gawang yang dikawal Ospina.

Gol kedua menyusul pada minit ke-23 menerusi tandukan Pratto manakala gol ketiga disudahkan Angel di Maria pada minit ke-84 selepas menerima umpanan Messi.

Kejayaan Argentina itu meletakkan pasukan itu ke tangga kelima dengan 19 mata baki enam perlawanan.

Brazil di tangga pertama dengan 25 mata daripada 12 perlawanan diikuti Uruguay (23); Ecuador (20); Chile (20); Argentina (19); Colombia (18).

Argentina yang tewas 3-0 oleh Brazil minggu lalu, mengawal permainan sejak mula untuk menyekat hasrat Colombia daripada merakam kemenangan pertama di bumi Argentina sejak 1993.

Pada minit ke-19, Colombia terlepas peluang keemasan apabila tandukan Falcao gagal menemui sasaran. - Agensi