SHAH ALAM 15 Nov - Harimau Malaysia mendapat suntikan semangat terbaik menjelang saingan Piala AFF Suzuki selepas meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Papua New Guinea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu bukan sahaja memberi motivasi buat pemain, malah Harimau Malaysia juga berjaya membalas dendam selepas tewas kepada pasukan sama pada siri jelajah Oceania, Jun lalu.

Pada perlawanan itu, kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaysia menyaksikan mereka dikejutkan dengan jaringan pembukaan Papua New Guinea menerusi Nagel Dabinyaba seawal minit keenam.

ersentak dengan jaringan itu, anak didik Datuk Ong Kim Swee menggandakan asakan untuk memburu gol penyaman dan usaha mereka berhasil apabila rembatan kencang Ahmad Hazwan Bakri di dalam kotak penalti pada minit ke-20 gagal diselamatkan penjaga gol, Ronald Warisan.

Tommy Semmy hampir meletakkan Papua New Guinea di depan pada minit ke-36, namun percubaannya tidak menepati sasaran ketika penjaga gol Harimau Malaysia, Khairul Azhan Khalid sudah pun terjatuh.

Hanya dua minit bersambung babak kedua, Harimau Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Darren Lok dijatuhkan Alwin Komolong.

Peluang itu digunakan sepenuhnya Kapten Amri Yahyah untuk skuad Kim Swee mendahului 2-1.

Hujan lebat pada 20 minit terakhir perlawanan tampak menjejaskan persembahan kedua-dua pasukan dan keputusan 2-1 memihak Harimau Malaysia kekal hingga wisel penamat.